AIR SELANGOR BANTU SESI PERSEKOLAHAN ANAK KAKITANGAN DENGAN SUMBANGAN KOMPUTER RIBA DAN PELAN INTERNET PERCUMA

18 DISEMBER 2020

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) semalam, 17 Disember 2020, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sesama Mara dengan mengagihkan sumbangan komputer riba serta pelan data internet percuma bagi membantu melancarkan sesi persekolahan sesi 2021 anak-anak warga kerja Air Selangor dalam situasi pandemik COVID-19.

Inisiatif yang julung kalinya dianjurkan oleh Air Selangor ini diharapkan dapat melancarkan proses pembelajaran 75 anak-anak warga kerja B40 di rumah yang sudah menjadi norma baharu.

Seramai 40 orang penerima komputer riba beserta pelan internet percuma ini adalah dalam kalangan warga kerja B40 yang hadir pada satu majlis ringkas awal pagi ini.

Sumbangan ini adalah antara usaha untuk meringankan bebanan mereka yang mempunyai anak-anak yang sedang mengikuti pembelajaran secara dalam talian di rumah untuk sesi persekolahan tahun 2020 dan 2021.

Program Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Baru-baru ini juga, di bawah program Sesama Mara, Air Selangor telah melancarkan akaun bank bagi inisiatif ‘Box of Hope’ untuk memudahkan orang ramai membuat sumbangan atas talian tanpa perlu ke cawangan Village Grocer atau mana-mana pejabat daerah Air Selangor. Hasil daripada sumbangan ini akan digunakan untuk memberi makanan asas kepada keluarga yang memerlukan. Sumbangan boleh dibuat melalui akaun CIMB Bank Berhad, 80-0798511-8. Setakat ini, sebanyak 310 buah keluarga telah berjaya dibantu melalui inisiatif ‘Box of Hope’ Sesama Mara Air Selangor.

Program Sesama Mara merupakan usaha dan komitmen Air Selangor untuk bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkepentingan dan menyuntik semangat dalam kalangan masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan agar terus maju ke hadapan terutama pada waktu yang mencabar ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

– TAMAT –