HENTI TUGAS LOJI RAWATAN AIR SUNGAI SELISEK BERIKUTAN INSIDEN BANJIR [3 Jan 2021, 8PM]

3 JANUARI 2021, 8:00 MALAM

 

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek terpaksa dihenti tugas pada jam 5:40 petang tadi berikutan kenaikan air ke paras kritikal di muka sauk disebabkan hujan yang berterusan pada hari ini.

Justeru itu, lapan (8) kawasan di Wilayah Hulu Selangor dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan Kampung Sungai Nilam/ Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli, Kampung Bahom, Kampung Sekolah/ Kuarters Klinik dan Kampung Gesir Tengah.

Jangkaan untuk  LRA Sungai Selisek beroperasi semula masih belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan hujan masih belum berhenti dan paras air masih lagi pada paras kritikal. Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan LRA berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutamanya melibatkan arus elektrik.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan lanjut insiden ini dan status terkini bekalan air dari semasa ke semasa menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

 

 

– TAMAT –